Lebih 130kg syabu disorok dalam SUV, dua lelaki ditahan

TAKTIK sindiket pengedaran dadah menyembunyikan lebih 130 kilogram syabu dalam sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) terbongkar dalam serbuan polis di Tawau, semalam.

Operasi kira-kira pukul 10.30 malam itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

Sumber berkata, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan jenis Toyota Harrier itu menemukan sejumlah besar paket plastik berisi bahan hablur jernih disyaki syabu yang disorok secara sistematik di hampir keseluruhan ruang kenderaan.

“Dadah tersebut disembunyikan di beberapa lokasi tersembunyi termasuk di bawah tempat duduk penumpang belakang, ruang bonet, sisi dinding kenderaan, pintu serta bahagian konsol tengah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Menurutnya, sindiket dipercayai menggunakan taktik berkenaan untuk mengaburi pihak berkuasa selain menyukarkan pengesanan ketika pemeriksaan.

“Berdasarkan kuantiti rampasan yang besar, siasatan menjurus kepada kemungkinan kegiatan ini didalangi rangkaian sindiket dadah terancang atau kartel antarabangsa,” katanya.

Dalam operasi itu, dua lelaki tempatan berusia 35 dan 51 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan termasuk mengenal pasti rangkaian sindiket serta sumber dan destinasi bekalan dadah berkenaan.

Sementara itu, Mahkamah Majistret membenarkan permohonan reman selama tujuh hari sehingga Selasa depan terhadap kedua-dua suspek bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Difahamkan, satu sidang media akan diadakan dalam masa terdekat bagi memperincikan hasil operasi tersebut.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img