SEORANG wanita maut manakala suaminya yang juga anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) parah selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah lori di Jalan Nabawan-Sepulut berhampiran Kampung Sarikan Nabawan, Keningau, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.45 malam itu, mangsa, Marlyana Baulun, 21, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.
Suaminya, Dendey Ampat, 27, mengalami kecederaan serius dan kini menerima rawatan di Hospital Keningau, manakala pemandu lori berusia 51 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Garai berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu membabitkan sebuah lori 10 tan dan motosikal jenis Modenas Kriss yang dinaiki pasangan berkenaan.
“Motosikal dinaiki pasangan itu dalam perjalanan dari arah Nabawan menuju ke Sepulut sebelum dilanggar dari arah belakang oleh lori berkenaan.
“Akibat pelanggaran itu, pembonceng maut di tempat kejadian, manakala penunggang cedera parah dan dihantar ke hospital untuk rawatan,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Berita Harian.
Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati pemandu lori dipercayai menjadi punca kemalangan kerana memandu secara melulu tanpa memberi perhatian kepada kenderaan di hadapan.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Keningau untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.


