Dua sindiket guna inap desa bungkus dadah tumpas, rampasan RM16.8 juta

DUA sindiket pengedaran dadah yang menjadikan inap desa di kawasan pelancongan Santubong sebagai lokasi pembungkusan tumpas dalam dua serbuan berasingan bulan ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, operasi oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri pada 7 dan 19 April lalu itu berjaya merampas pelbagai jenis dadah dengan nilai keseluruhan mencecah RM16.8 juta.

Dalam serbuan pertama pada 7 April, polis menahan sepasang kekasih berusia 41 dan 31 tahun di sebuah inap desa yang dipercayai dijadikan lokasi membungkus dadah.

“Hasil pemeriksaan menemui pelbagai jenis dadah termasuk MDMA seberat lebih 107 kilogram, ketamin (1,283 gram), Eramin 5 (180 gram), pil ekstasi (102 gram) dan syabu (28 gram).

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM16,216,450 dan boleh digunakan oleh 16,952 penagih,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, hari ini, lapor TV3.

Menurutnya, pasangan itu dipercayai berperanan sebagai pembungkus dan pengedar dengan bayaran RM3,000 sebulan serta komisen RM5 bagi setiap paket.

“Sindiket ini menggunakan modus operandi menyewa inap desa selama beberapa hari untuk membungkus dadah sebelum berpindah ke lokasi lain bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, selain menerima tempahan melalui aplikasi WhatsApp,” katanya.

Beliau berkata, sindiket berkenaan dipercayai baru aktif awal bulan ini dan polis sedang mengesan beberapa lagi individu yang disyaki terbabit.

Katanya, suspek wanita mempunyai tiga rekod jenayah lampau, namun ujian saringan air kencing terhadap kedua-duanya didapati negatif.

“Kedua-dua suspek telah dituduh di mahkamah pada 20 April lalu atas empat pertuduhan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, satu pertuduhan di bawah Seksyen 39(A)(1) dan dua pertuduhan di bawah Seksyen 12(2) akta sama,” katanya.

Sementara itu, dalam serbuan kedua pada 19 April, polis menahan dua lelaki tempatan berusia 28 dan 38 tahun bersama 1,281 paket katrij disyaki mengandungi cecair ganja seberat 3.2 kilogram.

“Rampasan dianggarkan bernilai RM536,450 dan boleh digunakan oleh 1,281 penagih.

“Siasatan mendapati kedua-dua suspek berperanan sebagai ‘runner’ dengan bayaran RM8,000 bagi setiap penghantaran dan dipercayai aktif sejak November lalu,” katanya.

Tambah beliau, sindiket itu turut menggunakan inap desa sebagai lokasi penyimpanan dan pembungkusan bagi mengaburi pihak berkuasa.

Katanya, kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan ujian air kencing didapati negatif, manakala sebuah kenderaan turut disita.

“Mereka kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img