POLIS Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan seramai 1,429 pegawai dan anggota dikenakan tindakan tatatertib sepanjang tahun lalu, dengan 134 daripadanya dibuang kerja atas pelbagai kesalahan.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tindakan tersebut merangkumi pelbagai bentuk hukuman mengikut tahap kesalahan dilakukan.
“Manakala, seramai 819 anggota diberi amaran, denda (211), lucut hak imbuhan (190), tangguh pergerakan gaji (18), turun gaji (34) dan turun pangkat (23).
“Kesalahan direkodkan membabitkan pelbagai isu termasuk salah laku jenayah, rasuah, syariah, mendatangkan kecederaan dan dadah,” katanya kepada media selepas menghadiri Forum Perdana Pertubuhan Kesedaran Jenayah dan Keselamatan Awam (CCPSS) Pulau Pinang, hari ini.
Menurutnya, walaupun hanya kira-kira satu peratus daripada keseluruhan kekuatan pasukan dikenakan tindakan, kesannya tetap besar terhadap imej PDRM.
“Kita ada lebih kurang 130,000 pegawai dan anggota. Mereka yang dikenakan tindakan tatatertib adalah sekitar satu peratus.
“Walaupun kecil, impaknya besar kerana ia boleh mencemarkan imej serta menjejaskan usaha baik yang telah dilakukan oleh pasukan,” katanya.
Beliau berkata, PDRM mempunyai mekanisme pemantauan dalaman melalui Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), selain saluran aduan luar menerusi Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) di bawah Kementerian Dalam Negeri.
Katanya, tindakan tegas akan terus diambil bagi memastikan integriti dan disiplin dalam pasukan sentiasa terpelihara.


