LIMA laras senjata api termasuk raifal jenis M16 yang dirampas dalam serbuan di Kampung Miak, Kuala Krai pada Isnin lalu, sudah dihantar ke unit forensik untuk siasatan lanjut.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, langkah itu bagi mengenal pasti nombor siri senjata berkenaan sama ada ia milik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) atau diseludup dari luar negara.
“Kes ini sangat jarang berlaku dan kita sedang menjalankan siasatan forensik untuk mengenal pasti nombor siri senjata berkenaan.
“Di Malaysia, senjata automatik seperti M16 tidak dilesenkan kepada orang awam, hanya senapang patah (shotgun) dibenarkan untuk tujuan lesen memburu,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita ditahan kerana memiliki lima laras senjata api dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Miak petang Isnin lalu.
Serbuan jam 6.45 petang itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi Ops Bersepadu Khazanah.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain dilaporkan berkata, serbuan dibuat selepas pihaknya mendapat maklumat berkaitan aktiviti menyimpan bahagian terbitan hidupan liar yang dilindungi.
Menurutnya, suspek yang berusia 32 tahun mendakwa kesemua senjata itu milik suaminya dan tidak mengetahui apa-apa berkenaan mengenai senjata api itu.
Selasa lalu, suspek wanita itu direman selama lima hari di Mahkamah Majistret Gua Musang bagi membantu siasatan.
Mohd Yusoff berkata, setakat ini pihak polis masih memburu suspek utama yang juga lelaki warga tempatan bagi membantu siasatan.


