POLIS sedang mengesan seorang remaja perempuan berusia 13 tahun yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Taman Muda Cheras, Ampang, sejak Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, laporan berhubung kehilangan mangsa dibuat oleh ibunya yang juga warga Myanmar selepas anaknya tidak pulang ke rumah.
Menurutnya, pengadu memaklumkan bahawa anak perempuannya keluar kira-kira jam 11 pagi untuk mengambil barang di rumah rakan sebelum dipercayai mengikuti seorang rakan lelaki.
“Remaja berkenaan dikenali sebagai Sufaira Anuwar Jamil berusia 13 tahun tiga bulan.
“Mangsa mempunyai ketinggian 148 sentimeter dengan berat kira-kira 40 kilogram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, lokasi terakhir mangsa dikesan adalah di No 132, Jalan Bunga Kemboja 3, Taman Muda Cheras, Ampang.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pusat Kawalan IPD Ampang Jaya di talian 03-42897222.
“Maklumat juga boleh disalurkan terus kepada Pegawai Penyiasat, SM Nolee Mohd Azemi di talian 011-1025 0165 bagi membantu siasatan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa memantau pergerakan anak-anak serta tidak membenarkan mereka keluar bersendirian tanpa pengawasan.
“Sebarang kecemasan boleh terus menghubungi talian MERS 999 untuk tindakan segera,” katanya.


