PEMILIK syarikat pengurusan pakej umrah dipenjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret Tawau, hari ini, selepas didapati bersalah atas tiga tuduhan gagal mematuhi award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) membabitkan tuntutan puluhan ribu ringgit.
Majistret Don Stiwin Malanjun menjatuhkan hukuman itu terhadap Norhayani M Ilham, 44, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir perbicaraan.
Beliau memerintahkan Norhayani dihukum penjara tiga bulan bagi setiap pertuduhan dan kesemua hukuman berjalan secara berasingan, bermula tarikh sabitan hari ini.
Norhayani selaku pemilik syarikat didakwa gagal mematuhi award TTPM bertarikh 27 Ogos 2024 yang mengarahkannya membayar tuntutan kepada tiga individu berjumlah keseluruhan RM26,400.
Perbuatan itu dilakukan di Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau di sini pada 13 September 2024 dan kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa KPDN Sabah, Gunasegaran Krishnan bersama Malai Rosidi Malai Muhamad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan ibu kepada dua anak itu untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi, dengan jaminan RM5,000 serta dua penjamin tempatan.
Sementara itu, di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin, tertuduh turut berdepan satu pertuduhan mengikut akta sama kerana gagal mematuhi award TTPM berjumlah RM19,840 membabitkan seorang penuntut lain bagi tempoh sama.
Mahkamah menetapkan 5 Mei depan untuk sebutan semula kes.
Pada 16 Disember 2025, Norhayani turut dijatuhi hukuman penjara tiga bulan selepas didapati bersalah atas kesalahan sama.


