Suspek warga emas tembak mati 3 individu didakwa Isnin depan

SUSPEK warga emas yang dipercayai melepaskan enam das tembakan hingga menyebabkan tiga individu maut di sebuah restoran di Taman Kota Jaya, Kota Tinggi pada Ahad lalu akan didakwa Isnin ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, suspek lelaki tempatan merupakan pekebun berusia 71 tahun yang ditahan kira-kira 30 minit selepas kejadian itu, bakal didakwa di Mahkamah Majistret Kota Tinggi.

Beliau berkata, suspek akan didakwa bagi tiga pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Polis menjumpai enam kelongsong peluru di lokasi kejadian, jadi kita percaya mungkin enam das tembakan dilepaskan dalam kejadian itu.

“Bagaimanapun, laporan bedah siasat yang lengkap kita belum terima,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru hari ini.

Dalam kejadian jam 1.30 petang Ahad lalu itu, suspek ditahan setengah jam selepas kejadian selepas menembak mati tiga mangsa termasuk seorang wanita warga Vietnam berusia antara 37 hingga 63 tahun di tempat kejadian.

Menurut Ab Rahaman, suspek kini ditahan reman sehingga Ahad ini dan semalam kertas siasatan sudah dirujuk ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor dan polis mendapat arahan mendakwa suspek dengan tiga pertuduhan atas kesalahan membunuh.

Ditanya apakah hubungan suspek dengan kesemua mangsa, beliau berkata, mereka berempat tiada hubungan kekeluargaan, sebaliknya hanya kawan.

Katanya, mangsa wanita warga Vietnam itu menguruskan perniagaan restoran berkenaan yang juga milik ibu mentuanya, manakala dua lagi mangsa lelaki adalah pelanggan tetap restoran berkenaan.

“Suspek ada memberi pinjam wang kepada mangsa wanita bagi tujuan menguruskan perniagaan restoran itu, yang diberikan secara berperingkat sejak 2023 yang semuanya dianggarkan berjumlah RM50,000. Bagaimanapun, pemberian wang itu tiada perjanjian rasmi atau dokumen sah,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengesahkan lesen senapang patah yang diperoleh suspek bukan dikeluarkan di negeri itu, sebaliknya dari Kuantan, Pahang.

Katanya, lesen sah senjata api itu dimiliki suspek sejak 1991.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img