JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis menyita sebuah kenderaan mewah jenis Lamborghini Revuelto yang telah tamat tempoh Lesen Kenderaan Motor (LKM) serta tidak mempunyai perlindungan insurans.
Kenderaan supercar bernilai jutaan ringgit itu ditahan dalam rondaan penguatkuasaan JPJ yang diadakan di Kilometer 1, Jalan Kuala Perlis–Changlun, semalam.
Pengarah JPJ Perlis, Noraini Mohd Nawi berkata, hasil semakan mendapati LKM kenderaan itu tamat tempoh sejak 19 Julai 2025, manakala perlindungan insurans berakhir pada 19 Januari 2026, sekali gus menjadikannya tidak layak berada di jalan raya.
“Siasatan awal mendapati hanya seorang lelaki berusia lingkungan 30-an berada dalam kenderaan berkenaan ketika ditahan.
“Difahamkan, ia dalam perjalanan dari Langkawi ke Johor dan dirancang dipindahkan menggunakan lori pengangkut dari Kuala Perlis,” katanya ketika dihubungi media hari ini.
Menurut Noraini, tindakan diambil mengikut Seksyen 23 dan Seksyen 90 Akta Pengangkutan Jalan 1987, selain kenderaan itu disita di bawah Seksyen 64(1) akta sama untuk tindakan lanjut.
Beliau turut mengingatkan semua pemilik kenderaan agar memastikan lesen kenderaan dan perlindungan insurans sentiasa sah bagi mengelakkan dikenakan tindakan undang-undang.


