SINDIKET penyelewengan diesel bersubsidi yang aktif sejak awal tahun ini di tiga lokasi berasingan di Shah Alam dan Sungai Buloh terbongkar pada Khamis lalu hasil Op Taring Bravo1 yang dilancarkan oleh Bahagian Pencegahan Penyeludupan (WCB/PSK) Bukit Aman.
Komander WCB/PSK KDNKA Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, melalui serbuan yang bermula kira-kira jam 4 petang hingga 10 malam didapati sindiket itu mengumpul diesel bersubsidi secara berperingkat sebelum dijual secara pukal kepada sebuah syarikat pengumpulan dan penyimpanan bahan api berkenaan.
“Minyak diesel itu kemudiannya diedarkan semula dalam kuantiti antara 5,000 hingga 6,000 liter setiap hari kepada beberapa syarikat perindustrian dan pembinaan di sekitar Lembah Klang dengan harga lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, hasil serbuan di tiga premis termasuk sebuah kilang, depoh dan stor tidak bernombor membawa kepada penahanan lapan individu tempatan dan warga asing berusia antara 20 hingga 50an.
“Semua suspek memainkan peranan sebagai penyelia, pekerja, pemandu lori tangki, kelindan serta penjaga stor dalam rangkaian sindiket ini,” katanya.
Mohd Zaki berkata, pihaknya turut merampas sebanyak 124,950 liter diesel bersubsidi dianggarkan bernilai RM645,632.
“Selain itu, dua buah lori tangki, 10 tangki IBC, enam mesin pam berserta hos dan 12 skid tank turut disita dalam operasi ini.
“Jumlah keseluruhan nilai rampasan termasuk kenderaan dan peralatan dianggarkan mencecah RM1.82 juta,” katanya.
Beliau berkata, siasatan mendapati sindiket berkenaan beroperasi secara tersusun dan berprofil tinggi dengan memanipulasi rantaian bekalan bahan api bagi mengaut keuntungan lumayan.
“Mereka bukan sahaja mengeksploitasi kelemahan sistem pengagihan diesel bersubsidi, malah bertindak agresif dengan menjual semula kepada sektor industri pada harga lebih tinggi.
“Kegiatan itu disifatkan sebagai satu bentuk sabotaj ekonomi yang memberi kesan kepada ketirisan subsidi kerajaan serta kestabilan pasaran tempatan,” katanya.
Beliau berkata, ia menunjukkan tahap kelicikan sindiket menyalahgunakan kemudahan subsidi yang sepatutnya dinikmati golongan sasaran.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 serta seorang warga asing turut disiasat mengikut Peraturan 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana bekerja tanpa permit.
“Semua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor untuk tindakan lanjut,” katanya.
Mohd Zaki memberitahu, pihak berkuasa tempatan turut mengeluarkan kompaun terhadap premis terlibat atas kesalahan lesen perniagaan.
‘’PDRM akan terus mempergiat operasi bersepadu bagi membanteras kegiatan penyelewengan bahan bersubsidi tanpa kompromi,” katanya.


