SEORANG peniaga maut selepas kereta dipandunya terbabas sebelum merempuh sebuah lori di Jalan Sungai Dua Asahan, di Jasin,semalam.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, dalam kejadian jam 6.15 petang itu, mangsa berusia 53 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian.
Dalam satu kenyataan beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Proton Saga dipandu mangsa dari arah Simpang Bekoh menghala ke Asahan dipercayai terbabas, sebelum berpusing dan memasuki laluan bertentangan.
“Pada masa sama, sebuah lori Hino dari arah Jementah menuju ke Lipat Kajang tidak sempat mengelak lalu merempuh kenderaan berkenaan di laluannya.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa yang bekerja sendiri parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya.
Beliau berkata, pemandu lori sawit yang berusia 33 tahun, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Lee memberitahu , semakan lanjut mendapati pemandu kereta tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau, namun pemandu lori mempunyai lima rekod jenayah, selain 21 saman dengan sembilan daripadanya masih belum dijelaskan.
Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Jasin untuk bedah siasat.
“Siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.


