PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (Perkeso) menggesa penyedia platform segera menyelaraskan sistem serta mengemukakan daftar maklumat pekerja masing-masing bagi mematuhi Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872).
Melalui satu kenyataan hari ini, Perkeso meneghaskan gesaan dibuat susulan proses on-boarding ketika ini hanya membabitkan kira-kira 2% daripada anggaran 1.2 juta pekerja gig di Malaysia, walaupun infrastruktur sistem digitalnya sudah siap sepenuhnya.
“Langkah berkenaan bukan sekadar keperluan pematuhan undang-undang, malah tindakan kritikal bagi memastikan perlindungan sosial yang konsisten dan berterusan kepada golongan pekerja gig.
“Hal ini (kerana) pekerja gig sentiasa terdedah kepada risiko kemalangan semasa mencari rezeki, justeru sebarang kelewatan dalam integrasi sistem bakal memberi implikasi terhadap kelangsungan pendapatan sekiranya ditimpa bencana kerja,” kata Perkeso.
Perkeso turut menjelaskan, mereka mengambil maklum kegurasan disuarakan Gabungan e-Hailing Malaysia (GEM), berhubung tahap pematuhan akta berkenaan dan bersedia mengambil pendekatan lebih tegas melalui penguatkuasaan, sekiranya penyedia platform masih gagal mematuhi keperluan di bawah akta berkenaan.
Kenyataan itu memaklumkan, penyedia platform wajar memastikan perlindungan keselamatan sosial diberikan kepada pekerja gig, kerana ia merupakan hak asas yang menyokong kelestarian operasi industri berkenaan.
“Perlindungan keselamatan sosial bukan sekadar tuntutan perundangan, sebaliknya satu amanah untuk menjaga kebajikan pekerja yang menyumbang kepada ekonomi negara,” kata Perkeso.


