BIDAAN nombor pendaftaran istimewa (NPI) siri eksklusif P__P yang ditawarkan selama lima hari bermula Isnin lalu, sempena Sambutan Ulang Tahun ke-80 Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merekodkan jualan berjumlah RM21,684,455.00.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, terdapat lima NPI merekodkan nilai tertinggi selepas bidaan menerusi sistem JPJeBID ditutup jam 10 malam semalam, iaitu P1P dibida mencecah RM 1.1 juta dan P9P sebanyak RM 1.07 juta.
Belliau memberitahu tiga lagi NPI iaitu P8P, P6P dan P2P masing-masing mencapai bidaan tertinggi sebanyak RM613,000, RM600,777 dan RM512,000 membabitkan seramai 19,370 pembida secara keseluruhan dan sebanyak 5,973 nombor pendaftaran telah berjaya dimenangi.
“Tiada nombor pendaftaran yang disekat untuk siri ini dan terdapat baki sebanyak 4,026 nombor pendaftaran sedia ditawarkan kepada orang awam pada harga minimum selepas bidaan ini ditutup.
“Sebagai Kementerian yang sentiasa memikirkan cara menambah hasil kerajaan, kita menggunakan pelbagai pendekatan termasuk memperkenalkan NPI selain nombor pendaftaran biasa,” katanya kepada wartawan pada Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun JPJ ke-80 di Batu Kawan, hari ini.
Loke berkata, sebahagian hasil diperoleh akan disalurkan untuk manfaat rakyat menerusi pelbagai inisiatif antaranya pembiayaan lesen percuma kepada golongan B40 serta penukaran topi keledar serta minyak hitam percuma dalam penganjuran program advokasi misalnya menerusi Karnival Jom Heboh X Mega JPJ MADANI 2026.


