Hari Wartawan Nasional disambut di Pulau Pinang Jun ini

SAMBUTAN Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 yang bakal berlangsung di Pulau Pinang pada Jun ini dijangka menghimpunkan seramai kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata acara kemuncak sambutan HAWANA 2026 pula yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth (PICA) di Kepala Batas pada 20 Jun akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata sambutan itu memperkukuh lagi kedudukan HAWANA sebagai platform utama dalam mempererat kerjasama strategik industri media di peringkat nasional dan ASEAN.

“Saya juga akan menjemput menteri komunikasi dan jabatan penerangan dari negara ASEAN, wakil media antarabangsa yang berpangkalan di Malaysia, pengamal media tempatan serta veteran industri untuk hadir ke sambutan tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada petugas Radio Televisyen Malaysia (RTM) Razif Saidin di Butterworth hari ini.

Turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

Fahmi berkata penganjuran HAWANA kali ini bukan sahaja dijangka meriah dari segi kehadiran, malah akan dipenuhi dengan pelbagai pengisian yang memberi manfaat kepada pengamal media.

Beliau berkata antara fokus utama adalah menyediakan ruang kepada wartawan yang masih berkhidmat untuk mengeratkan hubungan sesama mereka selain mendengar pandangan daripada veteran industri.

“Sambutan itu bukan sahaja menjadi platform penghargaan kepada pengamal media, malah ruang strategik untuk memperkasa industri dalam mendepani cabaran seperti penularan maklumat tidak sahih, perubahan pola penggunaan media dan adaptasi teknologi baharu.

“Bukan sekadar peluang pekerjaan, tetapi keterjaminan pekerjaan untuk rakan dalam industri media juga akan menjadi keutamaan saya,” katanya.

HAWANA disambut pada 29 Mei setiap tahun bersempena dengan penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939, sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan sumbangan pengamal media kepada pembangunan negara.

HAWANA yang dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai agensi pelaksana merupakan platform kemuncak dalam menghargai sumbangan, ketekunan serta profesionalisme pengamal media di Malaysia.

Sementara itu, Fahmi meluangkan masa menziarahi dan menyampaikan bantuan menerusi Tabung Kasih@HAWANA kepada Razif Saidin di Butterworth, Pulau Pinang.

Razif telah berkhidmat sebagai Penolong Jurutera di RTM selama 21 tahun dan kini berdepan komplikasi saraf kronik akibat kemalangan motosikal pada tahun 2023 serta perlu menjalani rawatan fisioterapi dengan pengambilan ubat secara berterusan.

Hingga kini, seramai 727 pengamal media di seluruh negara telah menerima manfaat daripada inisiatif Tabung Kasih@HAWANA sebagai simbol keprihatinan kerajaan dalam menjaga kebajikan komuniti media, khususnya mereka yang memerlukan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img