PROGRAM e-Tuisyen Rakyat akan dijadikan program teras untuk dilaksanakan secara meluas di semua Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara, tahun ini, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmai Fadzil.
Katanya, langkah itu dilakukan berikutan kejayaan 36 pelajar yang mengikuti tuisyen dalam talian di NADI memperoleh keputusan 7A dan ke atas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), baru-baru ini.
“Ada seorang pelajar yang hadir hari ini hanya mengikuti tuisyen di NADI tanpa menghadiri mana-mana tuisyen lain, namun berjaya memperoleh keputusan 7A. Lebih membanggakan, keputusan awal sebelum ini menunjukkan beliau gagal dalam beberapa mata pelajaran.
“Bagaimanapun, dalam SPM, selepas setahun mengikuti kelas tuisyen dalam talian di NADI, beliau memperoleh keputusan cemerlang. Ini satu kejayaan yang amat membanggakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pengiktirafan NADI Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebagai Pusat Transformasi Digital Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), di Kubang Semang, Bukit Mertajam hari ini.
Fahmi berkata pada 2025, lebih 42,000 pelajar tingkatan lima menyertai program e-Tuisyen Rakyat yang dilaksanakan di hampir 1,100 NADI di seluruh negara dan jumlah itu dijangka terus meningkat tahun ini.
Beliau berkata tenaga pengajar program itu terdiri daripada guru berkelayakan dan pendekatan pengajaran dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian, sekali gus membolehkan seorang guru mengajar lebih ramai pelajar pada satu-satu masa.
“Usaha kerajaan sejak dua hingga tiga tahun kebelakangan ini bukan sahaja memastikan setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) mempunyai sekurang-kurangnya satu NADI, malah meningkatkan kualiti perkhidmatan termasuk kelajuan Internet.
“Saya dimaklumkan terdapat NADI yang kini mencapai kelajuan Internet hingga dua gigabit sesaat (Gbps), dan kemudahan Internet berkelajuan tinggi itu dapat dimanfaatkan komuniti setempat bukan sahaja untuk pendidikan, malah menjana ekonomi melalui keusahawanan digital,” katanya.
Fahmi juga berkata tahap kesalinghubungan rangkaian 4G di Malaysia kini telah mencapai 99.7 peratus, mencerminkan pencapaian penting negara dalam memperluas liputan digital.
Sementara itu, beliau berkata Malaysia berhasrat mempertahankan kedudukan sebagai Ahli Majlis ITU, dengan proses pengundian dijadualkan berlangsung pada November ini di Doha.
“Tahun ini merupakan tahun penting bagi Malaysia dalam kerangka ITU kerana kita telah mengumumkan hasrat untuk mempertahankan kerusi Ahli Majlis ITU. Usaha kita juga adalah untuk memperagakan kejayaan termasuk NADI yang telah dicapai selama ini,” katanya.


