MAHKAMAH Majistret Gua Musang hari ini mengeluarkan perintah reman terhadap seorang lelaki warga Thailand selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh rakan senegara di Kampung Pulai di Gua Musang pada Khamis lalu.
Perintah reman terhadap lelaki berusia 47 tahun itu bermula hari ini hingga Sabtu, dikeluarkan Hakim Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, tindakan reman bagi membolehkan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Media semalam melaporkan, mayat seorang lelaki warga Thailand ditemukan dengan kesan tetakan dan luka di beberapa bahagian badan di anak sungai berhampiran kebun getah di Kampung Pulai pada Khamis lalu.
Mayat Manah Maemoh, 48, ditemukan tenggelam dalam air dan tersangkut batu serta kayu oleh seorang rakannya.
Pemeriksaan pada tubuh menemukan pelbagai kesan tetakan dan luka dipercayai akibat senjata tajam pada bahagian kepala, muka, leher, tangan dan kaki.


