
INSIDEN tembakan yang berlaku di Hotel Hilton Washington, lokasi majlis makan malam Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump bersama wartawan Rumah Putih pada Sabtu malam, telah mencetuskan suasana panik dalam kalangan hadirin serta menimbulkan pelbagai tanda tanya mengenai motif sebenar kejadian tersebut.
Malah insiden itu juga menjadi sasaran kepada netizen dan media termasuk di Iran untuk mempersoalkan sikap pengecut sesetengah anggota pentadbiran AS yang selama ini begitu berani bersekongkol dengan penjenayah antarabangsa, Benjamin Netanyahu membunuh rakyat Palestin, menyerang Iran dan memusnahkan Selatan Lubnan.
Di sebalik laporan rasmi, insiden ini mula mencetuskan spekulasi besar di media sosial Amerika. Ramai pengguna mempersoalkan sama ada kejadian itu benar-benar berlaku atau sekadar satu “pertunjukan politik” yang dirancang.
Persoalan utama yang timbul ialah sama ada insiden ini bertujuan memberi kelebihan politik kepada Trump menjelang pilihan raya pertengahan penggal Amerika Syarikat, atau untuk digunakan sebagai alasan dalam mengambil tindakan terhadap negara lain seperti Iran.
Keraguan semakin memuncak apabila beberapa pihak mengaitkan kejadian itu dengan insiden sebelum pilihan raya presiden lalu, apabila peluru dilaporkan hampir mengenai Trump dan kemudiannya digunakan secara meluas dalam propaganda kempen beliau.
Lebih menimbulkan tanda tanya ialah rakaman video jurucakap Rumah Putih, Karoline Leavitt, beberapa minit sebelum majlis bermula, yang menyebut bahawa malam tersebut akan menyaksikan beberapa “tembakan”, kenyataan yang kini menjadi bahan spekulasi ramai.
Selain itu, tindakan Trump memuat naik kenyataan di media sosial dalam suasana yang sepatutnya amat genting dari sudut keselamatan, dengan menonjolkan dirinya sebagai tokoh berani dan bersedia untuk kekal dalam majlis, turut menambahkan keraguan orang ramai.
Setakat ini, pihak berkuasa Amerika masih meneruskan siasatan bagi menentukan sama ada insiden tersebut merupakan ancaman keselamatan sebenar atau sebaliknya.
Turut menarik perhatian dari dimensi rasa takut, panik dan sikap pengecut yang luar biasa dalam kalangan pegawai Amerika; menurut saksi, beberapa das tembakan dilepaskan di luar dewan, cara J.D. Vance melarikan diri, tindakan Marco Rubio bersembunyi secara kelam-kabut di bawah meja, serta pelarian cemas Setiausaha Perbendaharaan dan beberapa pegawai Amerika lain yang berada di lokasi, menjadikan kejadian ini seperti satu gabungan tragedi dan komedi pada masa yang sama.
Dalam situasi seperti ini — jika kejadian tersebut bukan direka — sudah tentu langkah keselamatan dan kewaspadaan adalah sesuatu yang normal; namun isu utamanya bukanlah langkah berjaga-jaga itu, tetapi rasa takut dan panik yang jelas kelihatan ketika langkah tersebut diambil;
”Satu kepimpinan yang menggunakan bom bertan-tan untuk membunuh wanita dan kanak-kanak di Gaza, Iran, Lubnan dan banyak lagi tempat di dunia, serta menggambarkan diri mereka sebagai wira berani, tetapi apabila berdepan beberapa bunyi tembakan, sifat pengecut itu kelihatan begitu jelas terdedah!,”, kata media Iran.
Kita bukanlah menyokong keganasan. Serangan ke atas Trump atas apa alasan pun tidak boleh diterima. Tetapi itulah risiko yang akan wujud apabila ada pihak merasakan hanya cara itu sahaja mesej boleh disampaikan setelah tiada satupun kuasa yang boleh menghentikan keangkuhan Trump dan keganasan Netanyahu.
Mungkin serangan itu tiada kaitan dengan Iran dan pandangan yang sama diberikan oleh Trump, tetapi apabila dua kali beliau diserang sebelum dan ketika menjadi Presiden maknanya ada sesuatu tidak kena.


