POLIS sedang mengesan seorang wanita yang dipercayai mendera anak kandungnya berusia tiga tahun di Batu Caves, Selangor baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima laporan semalam daripada nenek kepada kanak-kanak lelaki itu yang tinggal serumah.
“Siasatan mendapati kejadian berlaku pada kira-kira jam 8 malam awal Mac lepas ketika pengadu terdengar tangisan cucunya disyaki didera.
“Siasatan mendapati suspek ibu kandung mangsa. Motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Noor Ariffin berkata, mangsa telah dibawa mendapatkan pemeriksaan doktor dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Amirul Ashyraf Abu Hassan di talian 019-349 1233 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak 03-6126 2222.


