SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan memperoleh kebenaran menyambung reman seorang pendakwah bebas yang disyaki menyeleweng dana sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berjumlah kira-kira RM12.3 juta.
Perintah reman sehingga 1 Mei terhadap suspek berusia lingkungan 30-an itu dikeluarkan Majistret Nurul Saqinah Rosli di Mahkamah Majistret Seremban hari ini berikutan tempoh tahanan remannya berakhir hari ini.
Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
Suspek sebelum ini direman selama lima hari sejak Rabu lepas dan setakat ini, SPRM telah membekukan 15 akaun bank berjumlah kira-kira RM16.6 juta terdiri daripada empat akaun individu, tiga akaun NGO dan lapan akaun syarikat.
Selain itu nilai sitaan terkini merangkumi RM158,731, Riyal 102,893, Dolar Singapura SGD27,929 dan barangan kemas bernilai kira-kira RM2 juta.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 serta di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Pada Sabtu lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya akan memanggil 14 hingga 15 saksi bagi membantu siasatan kes tersebut.


