SEORANG pemandu bas ditahan kerana merempuh tiga buah kenderaan selepas melanggar lampu isyarat merah di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu pada 8.06 malam tadi.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku pada jam 6.20 petang apabila bas jenis Nissan berwarna putih dipandu seorang lelaki tempatan dan melanggar lampu isyarat merah.
“Akibat tindakannya itu bas dipandunya terbabit kemalangan dengan tiga kereta lain hingga menyebabkan kerosakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Shamsudin, salah seorang mangsa yang memandu kereta mengalami kecederaan ringan tetapi individu lain termasuk pemandu bas tidak mengalami kecederaan.
Katanya, pemandu bas berusia lingkungan 40-an ditahan dan direman tiga hari bermula hari ini sehingga lusa bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Menurutnya, ujian saringan awal mendapati suspek negatif pengambilan dadah dan alkohol ketika kejadian itu.
“Pihak polis tidak akan berkompromi kepada pengguna jalan raya yang tidak mematuhi peraturan dan akan mengambil tindakan tegas kepada pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang.
“Saksi kejadian dimohon tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat trafik, Inspektor Mohd Nazar Md Kasim di talian 012-565 3395 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-7966 2222 bagi membantu siasatan,” katanya.
Terdahulu tular dalam media sosial satu klip video memaparkan kereta Perodua Myvi yang baru bergerak di satu persimpangan lampu isyarat dilanggar sebuah bas di bahagian bonet hadapan.


