POLIS menahan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan berhubung kes ingkar titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkait pelaksanaan solat Jumaat dan azan di Surau Taman Seraya, Ampang yang tular dalam media sosial baru-baru ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, lelaki berusia 46 tahun itu ditahan di kawasan Pandan Indah kira-kira jam 3 petang tadi.
“Turut dirampas sebuah komputer riba, sebuah telefon bimbit serta beberapa dokumen berkaitan bagi membantu siasatan lanjut.
“Semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau manakala ujian saringan air kencing adalah negatif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298 Kanun Keseksaan, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Menurutnya, siasatan dijalankan secara profesional dan telus mengikut lunas undang-undang yang berkuat kuasa tanpa sebarang kompromi.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang andaian atau spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu proses siasatan serta menggugat ketenteraman awam.
“Pihak polis tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang tindakan yang cuba mencetuskan provokasi melampau sehingga menjejaskan keharmonian masyarakat di negeri ini,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, jawatankuasa sebuah surau di Ampang membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah pada Jumaat lalu, susulan dakwaan terdapat pihak membuat bantahan terhadap pengurusan surau berkenaan membabitkan azan, solat berjemaah serta penggunaan ruang luar surau.
Antara perkara yang menimbulkan ketegangan termasuk dakwaan laungan azan mengganggu mereka selain meminta supaya solat berjemaah dihentikan.
Susulan itu, Shazeli dilaporkan berkata, pihaknya sudah merakam percakapan beberapa individu termasuk wakil komuniti setempat yang terkesan dengan isu berkenaan bagi membantu melengkapkan fail kes.
Seorang individu daripada pejabat ahli majlis juga telah tampil memberikan keterangan, bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh daripada pelbagai sudut.
Terdahulu hari ini, Shazeli dilaporkan berkata, pihaknya mendaftarkan seorang lelaki tempatan yang disyaki terbabit dalam isu petisyen azan di Ampang, ke dalam senarai pekeliling khas bagi menghalang individu berkenaan meloloskan diri ke luar negara.


