KEGIATAN lima lelaki tempatan dikenali sebagai ‘Geng Kuyai’ yang aktif melakukan samun bersenjata, curi kenderaan dan pecah masuk kilang di daerah Pontian berjaya ditumpaskan dalam operasi khas, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussien Mion Hussain berkata, kumpulan itu dikesan melakukan dua rompakan di premis serbaneka 24 jam di Taman Perindustrian Pekan Nenas dan Bandar Pontian pada 18 April lalu dalam tempoh kira-kira 20 minit.
Menurutnya, kejadian pertama berlaku sekitar pukul 3 pagi apabila suspek utama berusia 33 tahun bersama ahli kumpulan lain menyasarkan premis sunyi tanpa pengawal keselamatan.
“Suspek berjalan di sekitar premis kira-kira 10 minit sambil memakai jaket bagi mengaburi orang ramai sebelum mengeluarkan parang yang disorokkan dalam baju.
“Mereka kemudian menyamun pekerja menggunakan parang dan besi sebelum melarikan pelbagai barangan serta wang tunai,” katanya.
Beliau berkata, susulan dua laporan polis diterima pada pagi hari sama, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian bersama Task Force Lejang dan D9 Polis Diraja Malaysia Kontinjen Johor melancarkan serbuan bermula jam 6 petang pada 21 April.
Katanya, lima suspek berusia antara 27 hingga 35 tahun berjaya ditahan di sebuah homestay di Iskandar Puteri.
“Hasil semakan mendapati semua suspek mempunyai rekod jenayah dan narkotik, manakala dalang utama turut dikehendaki polis bagi kes curi kereta.
“Ujian saringan air kencing mendapati semua suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.
Menurut beliau, polis turut merampas pelbagai barangan dipercayai hasil jenayah termasuk sebuah Perodua Myvi, dua motosikal, 11 telefon bimbit, dua tablet, nombor pendaftaran palsu serta senjata seperti parang, pisau dan kuku kambing dengan nilai keseluruhan rampasan kira-kira RM60,000.
Tambahnya, kejayaan operasi itu menyelesaikan tiga kes samun, tiga kes curi kenderaan dan satu kes pecah kilang di daerah Pontian.
Hadzrat Hussien berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397, Seksyen 379A dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Kesemua suspek kini direman sehingga 30 April bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.


