ISRAEL membebaskan 15 tahanan Palestin semalam yang sebelum ini ditahan di Semenanjung Gaza ketika konflik berterusan.
Beberapa orang daripada mereka dilaporkan menunjukkan tanda-tanda kekurangan zat makanan, manakala yang lain mengalami kecederaan, di tengah peningkatan jumlah kematian dalam kalangan tahanan Palestin di penjara Israel serta dakwaan penyeksaan dan kecuaian perubatan.
Menurut sumber tempatan, kesemua mereka dibebaskan melalui lintasan Karem Abu Salem di selatan Gaza sebelum dihantar ke Hospital Al-Aqsa Martyrs di bahagian tengah wilayah itu untuk menerima rawatan.
Saksi dan wartawan melaporkan bahawa tahanan yang dibebaskan kelihatan sangat kurus dan keletihan, dengan sebahagian daripada mereka mempunyai kesan kecederaan yang ketara.
Rejim Zionis berdepan tuduhan melakukan penyeksaan terhadap tahanan Palestin, termasuk menggari dan merantai mereka selama 24 jam sehari, tujuh hari seminggu — termasuk ketika tidur, makan dan menggunakan tandas. Testimoni juga menggambarkan kejadian pukulan berkala oleh pengawal, kesesakan melampau, penghinaan serta tahap kebersihan yang tidak mencukupi.
Pada Ogos 2024, pertubuhan hak asasi Israel, B’Tselem, menuduh pihak berkuasa Israel mengamalkan penderaan sistematik terhadap rakyat Palestin di kem tahanan yang disifatkan sebagai “kem penyeksaan”, termasuk keganasan teruk dan serangan seksual.
Penyeksaan terhadap tahanan Palestin didakwa telah menyebabkan lebih 98 kematian yang direkodkan sejak 7 Oktober 2023 — hari bermulanya operasi ketenteraan besar-besaran Israel di Gaza — menjadikannya “fasa paling berdarah dalam sejarah gerakan tahanan”, menurut Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan Palestin dan Persatuan Tahanan Palestin (PPS).
“Setiap kali tahanan dibebaskan, kami mendapati tubuh mereka mencerminkan tahap jenayah yang dilakukan terhadap mereka,” kata PPS dalam satu kenyataan.
“Mereka mengalami penderaan perubatan, kebuluran dan pukulan kejam yang berterusan hingga hari-hari terakhir sebelum dibebaskan. Tindakan ini mencerminkan sejarah panjang jenayah sistematik oleh pihak pendudukan yang meningkat secara berbahaya sejak bermulanya kempen ketenteraan.
‘’ Jenayah ini telah menyebabkan kematian puluhan tahanan dalam tempoh paling berdarah dalam sejarah gerakan tahanan,” tambah kenyataan itu.
Menurut angka rasmi Palestin, kini terdapat lebih 9,000 tahanan Palestin di penjara Israel, termasuk 90 wanita dan 350 kanak-kanak.


