SERAMAI 1.88 juta rakyat Malaysia telah menerima manfaat menerusi skim perlindungan kesihatan, mySalam dengan jumlah tuntutan dibayar sebanyak RM1.423 bilion sejak ia diperkenalkan pada 2019.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, yang turut memperincikan pencapaian program berkenaan sehingga 31 Disember tahun lalu.
Beliau berkata, MySalam yang dikelolakan Kementerian Kewangan bermula pada 2019 dengan dana sebanyak RM2.37 bilion menyediakan tiga bentuk manfaat utama kepada penerima.
“Antara penerima yang layak adalah penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta pasangan sehingga usia 65 tahun.
“Tiga manfaat yang disediakan termasuk manfaat hospitalisasi sebanyak RM50 sehari bagi maksimum 14 hari atau RM700 setahun, bantuan sehingga RM8,000 secara sekali bayar bagi penerima yang menghidap 50 penyakit kritikal disenaraikan serta tuntutan kos peralatan perubatan maksimum sehingga RM30,000,” katanya pada sidang media pasca Mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.
Menurut Fahmi merangkap Menteri Komunikasi, bagi manfaat hospitalisasi sahaja, seramai 1.294 juta penerima telah menerima bayaran berjumlah RM394.87 juta.
Katanya, seramai 89,085 penerima pula mendapat manfaat bagi penyakit kritikal dengan jumlah bayaran RM712.68 juta, manakala seramai 13,128 penerima menerima manfaat peranti perubatan berjumlah RM65.257 juta.
Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata Jemaah Menteri turut menerima taklimat mengenai hasil lawatan rasmi Perdana Menteri ke Jepun yang berakhir malam tadi.
Beliau berkata, lawatan itu berjaya mengukuhkan hubungan dua hala Malaysia-Jepun termasuk memuktamadkan beberapa kerjasama strategik.
“Antaranya perjanjian jual beli gas asli cecair (LNG) jangka panjang antara Petronas dan JERA Inc. yang bermula pada 2028 selain perbincangan berkaitan kecerdasan buatan (AI), sektor semikonduktor, teknologi digital, mineral kritikal dan rantaian bekalan berdaya tahan,” katanya.
Fahmi berkata, Perdana Menteri turut menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama antara institusi pengajian tinggi Malaysia dan Jepun khususnya dalam bidang penyelidikan kuantum.
Katanya, bidang berkenaan penting termasuk dalam usaha pembangunan teknologi seperti kriptografi kuantum dan penyulitan kuantum.
“Perdana Menteri meminta supaya lebih banyak universiti di Malaysia menjalinkan kerjasama erat dengan universiti di Jepun dalam bidang ini,” katanya.






