KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menumpaskan aktiviti penyelewengan diesel dengan menyita hampir 24,000 liter bahan api yang dipercayai untuk jualan di pasaran menerusi serbuan di sebuah stor berlesen di Simpang Ampat, NIbong Tebal hari ini.
Serbuan yang dilakukan kira-kira jam 2 petang itu hasil daripada maklumat dan risikan yang dijalankan selama dua minggu.
Pengarah KPDN negeri, S Jegan berkata, dalam serbuan itu pihaknya menahan pemandu lori warga tempatan berusia 45 tahun untuk siasatan lanjut.
Beliau berkata, pihaknya mendapati lori tangki itu telah diubahsuai dipercayai untuk tujuan penyelewengan dan menjumpai hampir 24,000 liter diesel serta beberapa peralatan bagi kegiatan berkenaan.
“Berdasarkan siasatan terdapat dua lori untuk menjalankan kegiatan ini. Sebuah lori bertindak mengutip diesel dari stesen ke stesen minyak kemudian disimpan dalam sebuah lagi lori sehingga ia penuh dan bergerak untuk dijual dipercayai untuk industri.
“Hasil serbuan ini, KPDN telah menyita diesel, lori, beberapa peralatan yang dianggarkan RM400,000 serta dokumen untuk tindakan lanjut,” katanya selepas mengetuai serbuan itu hari ini.
Jegan berkata, KPDN akan terus menjalankan siasatan bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terbabit dalam aktiviti atau rantaian pengedaran minyak diesel termasuk sumber minyak diesel diperoleh dan edaran mana-mana pihak tidak bertanggungjawab.
Katanya, kes ini disiasat mengikut Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan 1961.


