SEORANG pegawai tentera akan didakwa di mahkamah esok atas pertuduhan membunuh dan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian serta kecederaan dalam kemalangan di Lebuhraya MEX pada Khamis lalu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa dalam kenyataan berkata, kertas siasatan kes itu dirujuk kepada Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara (AGC) di Putrajaya hari ini.
“Pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian penumpang lelaki e-hailing akan dibuat di Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur.
“Dua pertuduhan mengikut Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan kandungan alkohol melebihi had ditetapkan, iaitu 150 miligram alkohol dalam 100 mililiter nafas sehingga menyebabkan kecederaan kepada pemandu dan penumpang e-hailing di Mahkamah Trafik,” katanya.
Mohd Zamzuri juga memaklumkan kertas siasatan itu ditaklimatkan kepada Ketua Bahagian Pendakwaan AGC, Datuk Masri Mohd Fuad oleh Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Datuk Mohd Nordin Ismail dan Timbalan Pendakwa Raya Izzat Amir Idham dengan kehadiran pegawai penyiasat kes.
Sebelum ini, polis mengesahkan kemalangan membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) e-hailing jenis Perodua Alza dan sebuah kereta Ford Fiesta pada jam 5.38 pagi 23 April di Kilometer 1.9 Lebuhraya MEX dari arah Salak Selatan menghala ke Jalan Tun Razak.
Siasatan awal mendapati Ford Fiesta dipandu pegawai tentera yang dipercayai mabuk telah memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Perodua Alza dipandu lelaki berusia 41 tahun yang membawa dua penumpang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Kemalangan menyebabkan penumpang e-hailing, pempengaruh lelaki warga Bangladesh berusia 22 tahun maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala manakala isterinya berusia 20 tahun dan pemandu e-hailing cedera.


