ISRAEL membuktikan bahawa kebiadaban dan keganasan mereka tidak ada batasnya apabila menyekat pelayaran kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza awal pagi ini.
GSF dalam kenyataan berkata, setakat ini sebanyak 11 daripada 56 kapal GSF yang belayar di perairan antarabangsa Laut Mediterranean berhampiran Greece dilaporkan terputus hubungan selepas didekati armada tentera Israel.
‘’ Kerajaan-kerajaan perlu bertindak segera untuk melindungi flotila tersebut, memastikan Israel dipertanggungjawabkan atas pelanggaran jelas undang-undang antarabangsa, serta atas tindakan berterusan yang didakwa sebagai genosid terhadap rakyat Palestin,’’ kata kenyataan GSF..
Sementara itu,media Israel melaporkan sumber keselamatan negara itu memberitahu tentera laut Zionis telah mula memintas GSF.
‘’Data penjejakan menunjukkan flotila tersebut, yang terdiri daripada 58 buah kapal, kini berada berhampiran pulau Crete di Greece, masih ratusan batu nautika dari Israel,’’ kata laporan itu.

Laporan tersebut menyifatkan, tindakan itu dilihat luar biasa berbanding percubaan flotila sebelum ini, apabila tentera laut Israel lazimnya menunggu sehingga kapal-kapal tersebut lebih hampir ke pesisir Gaza sebelum bertindak.
Dalam perkembangan berkaitan, salah seroang ahli jawatankuasa GSF dari Indonesia, Maimon Herawati memberitahu republika.co.id, ‘’kami menerima maklumat yang jelas untuk disampaikan kepada umum bahawa flotila kami, yang kini terdiri daripada 56 kapal, telah didatangi sebuah kapal yang mendakwa ia dari Israel.’’
Beliau berkata, para aktivis di kapal Arctic Sunrise milik Greenpeace melaporkan didatangi sebuah kapal yang mengaku dari pasukan tentera Israel. Mereka dikatakan mengacukan senjata separa automatik ke arah peserta armada menuju Gaza dan memaksa mereka berlutut.
“Jadi kita belum dapat memastikan sama ada benar Israel atau tidak, tetapi pihak tersebut mengenal pasti diri mereka sebagai dari Israel dan mengarahkan rakan-rakan untuk berpatah balik,” katanya.
Dalam rakaman komunikasi radio yang dihantar pihak GSF, kedengaran sekumpulan tentera yang mengaku tentera laut Israel dan mengancam akan mengambil tindakan sekiranya flotika meneruskan pelayaran ke Gaza.
“Sebarang percubaan untuk terus belayar ke Gaza akan membahayakan keselamatan anda dan menyebabkan IDF tiada pilihan selain mengambil semua tindakan yang perlu untuk menguatkuasakan sekatan keselamatan maritim yang sah,” menurut rakaman tersebut.
Pihak itu turut mengarahkan kapal berpatah balik ke pelabuhan asal. Mereka menyatakan bantuan kemanusiaan boleh dihantar ke pelabuhan Ashdod untuk pemeriksaan sebelum dipindahkan ke Gaza.
“Adalah berbahaya untuk kekal di laluan anda sekarang. Jika anda terus cuba melanggar sekatan maritim, kami akan menghentikan kapal anda dan memohon penyitaan melalui proses undang-undang di mahkamah. Anda bertanggungjawab sepenuhnya atas tindakan anda,’’ kata tentera Isarel.
Maimon, yang juga wakil Global Peace Convoi Indonesia (GPCI) berkata, selepas kejadian itu, 11 kapal dilaporkan hilang hubungan dan tidak dapat dikesan dan mereka percaya keadaan ini mungkin disebabkan gangguan isyarat radio oleh pihak Israel.
“Frekuensi disekat sehingga 11 kapal tidak dapat dikesan keadaannya ketika ini. Namun setakat ini kita masih berharap semuanya selamat kerana belum ada kepastian,” katanya.
Sementara itu, tujuh kapal GSF dipercayai terlibat dalam pencegatan dan kemungkinan dirampas, termasuk Kapal Arkham, Romantica, Goleta, Saf Saf (Mothership), Bianca, Bella Blu dan Eros I.
“Harapnya ini belum merupakan pemintasan atau rampasan. Keadaan rakan-rakan di lokasi lain tenang dan tidak panik. Seperti latihan sebelum ini, gerakan ini adalah tanpa kekerasan,” ujar Maimon, sambil memaklumkan kira-kira 110 peserta berada dalam 11 kapal tersebut.
Menurut beliau, pengintipan terhadap flotila sudah dikesan sejak kapal-kapal itu berlabuh di Barcelona, Sepanyol.
“Semasa saya bertugas malam, sudah kelihatan dron-dron berlegar,” katanya, sambil menambah bahawa tujuh dron dikenal pasti mengekori flotila sejak dari Sepanyol.


