SEORANG penunggang motosikal yang tular di media sosial kerana melakukan perbuatan khianat di Plaza Tol Kajang, Lebuhraya Kajang–Seremban (LEKAS) dijatuhi denda RM6,500 oleh Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi, hari ini.
Majistret, Saira Banu Mohamed Ashrof Raja menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Ahmad Fairuz Amir, 31, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikenakan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan khianat di Plaza Tol Kajang, Lebuhraya LEKAS kira-kira jam 4 petang pada 26 April lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi lima tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, polis menahan lelaki tempatan itu selepas dipercayai menendang pintu sebuah kereta di kaunter bayaran tol berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, insiden itu dipercayai berlaku kira-kira jam 4 petang sehari sebelum tangkapan di laluan menghala ke selatan di kawasan Kajang.
“Polis menerima laporan daripada seorang pemandu e-hailing berusia 65 tahun yang memandu kereta jenis Proton Saga.
“Akibat kejadian itu, kenderaan mangsa mengalami kerosakan di bahagian hadapan sebelah kiri,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, kejadian itu tular di media sosial menerusi video berdurasi satu minit 26 saat yang memaparkan seorang penunggang motosikal bertindak agresif merosakkan sebuah kenderaan di kaunter bayaran tol berkenaan.


