TINDAKAN Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang Melaka, Dr Mohd Aleef Yusof meletakkan stiker anjing pada gambar Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Melaka Abdul Razak Abdul Rahman ditegur Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Ahli Parlimen Masjid Tanah itu berkata, apa yang dilakukan oleh Dr Mohd Aleef tidak mencerminkan adab sebagai seorang Islam dan berbangsa Melayu, lebih-lebih lagi beliau seorang wakil rakyat.
“Dalam banyak-banyak stiker, kenapa stiker itu juga yang jadi pilihan kamu. Ini satu tindakan yang tidak mencerminkan adab kita, sebagai orang Islam dan Melayu. Lagi-lagi adab (kamu) sebagai seorang wakil rakyat,” katanya beliau melalui Facebook.
Tindakan Dr.Mohd Aleef itu dikatakan ada kaitan dengan kekecohan melibatkan beliau dengan Abdul Razak yang juga Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya.
Dr.Mohd Aleef berkata Razak yang juga ADUN Telok Mas gagal menjawab soalan tambahan berhubung status operasi semula projek ‘floating market’ yang didakwa ditutup selama setahun.
Beliau berkata, soalan yang diajukan adalah ringkas, iaitu mengenai bila projek berkenaan akan kembali beroperasi, tetapi Abdul Razak memberikan jawapan yang tidak menjurus kepada isu dibangkitkan.
Bagaimanapun Abdul Razak melalui Tik Tok memberitahu beliau sudah menjawab ADUN Bersatu tersebut.


