10 rakyat Malaysia termasuk Zainal Rashid berada dalam kapal dipintas, diceroboh tentera Israel

SUMUD  Nusantara Command Center (SNCC) mengesahkan enam daripada 22 kapal yang dipintas dan diceroboh tentera rejim Israel di perairan antarabangsa ketika menuju ke Gaza, melibatkan 10 rakyat Malaysia.

Ketua Pengarah SNCC Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata mereka yang terlibat ialah Zainal Rashid Ahmad yang menaiki kapal Arkham III; Osman Zolkifli dan Dr Jihan Alya Mohd Nordin (Eros 1); Hazwan Hazim Dermawan, Mohd Hanafi Mohd Salim, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman dan Norhelmi Ab Ghani (Bianca BCN).

Turut terlibat ialah Mohd Redzal Amzah dan Muhamad Muhsin Zaidi, masing-masing berada dalam kapal Freia dan Marea serta Mohd Shamsir Mohd Isa (Esplai).

Dr. Sani Araby berkata, SNCC akan terus berhubung dengan pasukan kami yang masih dalam perjalanan ke Gaza ketika ini untuk perkembangan terkini dari masa ke semasa.

Sani Araby berkata, serangan berlaku dengan pantas namun perjalanan kapal lain tetap diteruskan.

SNCC menegaskan terdapat rakaman audio dan visual yang membuktikan pihak IDF menggunakan naratif palsu bagi menjustifikasikan serangan mereka, sedangkan flotilla kekal berlayar di koridor perairan antarabangsa yang sah di bawah undang-undang maritim UNCLOS.

Susulan perkembangan membimbangkan itu, SNCC menyeru rakyat Malaysia untuk segera melaksanakan solat hajat dan doa Qunut Nazilah bagi memohon keselamatan buat seluruh delegasi misi.

Orang ramai dinasihatkan agar merujuk kepada pusat ini sebagai sumber sahih bagi membendung propaganda salah, selain boleh memantau kedudukan semasa flotilla secara nyata melalui pautan penjejakan langsung di sntracker.sumudnusantara.com.

Seramai  36 rakyat Malaysia terbabit dalam misi berkenaan terdiri daripada jurutera bot, kapten, pasukan perubatan, kru kapal penganjur serta peserta dalam keadaan sihat dan bersemangat tinggi untuk meneruskan fasa pelayaran.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img