JABATAN Agama Islam Wilayah Persekutuan di bawah Kerajaan MADANI membantah penganjuran Program Rain Rave Water Music Festival 2026 di Kuala Lumpur yang dilihat berpotensi membawa kepada kemudaratan akhlak dan keruntuhan nilai masyarakat.
Pengarahnya, Hanifuddin Roslan berkata, JAWI menyatakan kekesalan terhadap penganjuran program tersebut dan berharap agar pihak penganjur dapat menilai semula konsep pelaksanaannya dan cakna terhadap sensitiviti masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan budaya.
‘’ Merujuk kepada Bayan Linnas Siri Ke-351 bertajuk “Rain Rave Water Music Festival 2026 : Hiburan Ada Batas, Penganjur Memikul Tanggungjawab Dan Konsert Berbentuk Maksiat Wajib Dihentikan” yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan yang menyatakan dengan jelas bahawa Islam tidak menolak hiburan secara mutlak, namun hiburan tersebut hendaklah tertakluk kepada garis panduan yang telah ditetapkan oleh syarak,’’ katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, JAWI akan meneruskan pelaksanaan program-program keagamaan di Wilayah Persekutuan melalui kuliah, ceramah, forum, tausiyah, kempen di medsos dan khutbah Jumaat berkaitan kepentingan umat Islam untuk sentiasa mematuhi perintah Allah SWT dan menjauhkan diri dari terlibat dalam program-program yang berunsur maksiat.
‘’ Justeru, JAWI akan menganjurkan bacaan yassin dan solat hajat serentak di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan pada hari in selepas solat Maghrib bagi mendoakan kesejahteraan dan keharmonian hidup warga Wilayah Persekutuan secara khusus dan rakyat Malaysia secara amnya,’’ katanya.
Beliau berkata, JAWI juga memohon kerjasama semua pihak agar memastikan sebarang penganjuran program berbentuk hiburan tidak mempunyai unsur-unsur yang boleh menjejaskan kesucian agama dan akhlak masyarakat bagi mengelakkan berlakunya kemudaratan lebih besar.


