SEBANYAK 15 anggota tentera cedera selepas trak yang mereka naiki merempuh plaza tol di Lebuhraya Sungai Besi Ulu Kelang Elevated Expressway (SUKE), dipercayai akibat kegagalan brek semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 4.40 petang di Plaza Tol Bukit Teratai.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati trak milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dipandu dari arah Kem Sungai Besi menuju ke Kuala Kubu Bharu hilang kawalan sebelum melanggar kawasan plaza tol berkenaan.
“Kesemua 15 anggota tentera yang berada di bahagian belakang trak mengalami kecederaan.
“Mereka dibawa ke Hospital Ampang oleh ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Khairul Anuar, kemalangan itu dipercayai berpunca daripada kegagalan brek kenderaan terbabit.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987. Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan,” katanya.
Beliau berkata, bagi kesalahan berulang, hukuman lebih berat boleh dikenakan termasuk denda antara RM10,000 hingga RM15,000 serta penjara sehingga 12 bulan.


