Tukang masak warga Malaysia ditahan di Mauritius, cuba seludup ganja RM2.3 juta

SEORANG  tukang masak warga Malaysia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Sir Seewoosagur Ramgoolam di Plaisance, Mauritius, selepas pihak berkuasa merampas 17.88 kilogram ganja yang dianggarkan bernilai Rs25.5 juta (RM2.3 juta)

Suspek ditahan pada Jumaat, 23 Oktober, selepas tiba dari Dubai menggunakan penerbangan EK709 kira-kira jam 3 petang (7 malam waktu Malaysia).

Penahanan itu dilakukan hasil operasi pemantauan bersama oleh pegawai Unit Antidadah dan Penyeludupan (ADSU) serta Bahagian Antinarkotik Kastam (CANS) Mauritius.

Dalam operasi berkenaan, beberapa penumpang yang menimbulkan syak wasangka dikenal pasti untuk menjalani pemeriksaan bagasi lebih teliti ketika meninggalkan kawasan lapangan terbang.

Pemeriksaan menggunakan pengimbas terhadap beg pakaian milik lelaki itu mengesan kemungkinan terdapat bahan terlarang.

Pemeriksaan lanjut kemudian menemukan 17 bungkusan mampat yang mengandungi ganja, dengan berat bersih keseluruhan 17.88 kilogram.

Selepas penahanan itu, penyiasat ADSU menjalankan operasi penghantaran terkawal dengan menggantikan dadah berkenaan menggunakan bungkusan tiruan bagi mengesan individu yang sepatutnya menerima kiriman tersebut.

Bagaimanapun, operasi itu tidak membawa kepada sebarang penahanan lanjut apabila tiada individu tampil untuk mengambil bungkusan berkenaan.

Pihak berkuasa turut merampas telefon bimbit suspek untuk analisis forensik, wang tunai sebanyak Rs8,150 (RM698) serta sejumlah wang dalam mata wang Malaysia dan Thailand yang ditemui dalam simpanannya.

Suspek  kini masih dalam tahanan polis dan berdepan pertuduhan sementara berkaitan pengedaran dadah, iaitu pengimportan dadah berbahaya dengan dakwaan untuk tujuan pengedaran.

Siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti pihak lain yang mungkin terlibat dalam kes berkenaan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here