BRIGED Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) menyerbu sebuah kilang memproses balak tanpa lesen dan merampas pelbagai kayu balak serta peralatan yang kesemuanya bernilai RM1.863 juta di Kepala Batas, Pulau Pinang kelmarin.
Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisoner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, Ops Sawmill itu diadakan pada jam 7 pagi oleh sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Pulau Pinang.
“Dalam operasi itu, turut ditahan dua lelaki tempatan berusia 38 dan 55 tahun yang dipercayai pekerja di kilang itu, dan pemeriksaan bersama pihak Jabatan Perhutanan negeri mendapati premis berkenaan dijadikan lokasi pengumpulan dan pemprosesan kayu balak tanpa kelulusan.
“Hasil pemeriksaan di dalam kawasan kilang mendapati pengusaha membeli dan memotong kayu balak tanpa sebarang permit atau kelulusan daripada Jabatan Perhutanan Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Menurut beliau, hasil semakan mendapati lesen kilang papan, papan lapis, venir dan papan blok yang dimiliki di situ sudah tamat tempoh sejak 31 Disember lalu, sekali gus menimbulkan isu ketidakpatuhan terhadap peraturan perhutanan dan pelesenan industri kayu.
Balveer Singh berkata, pihaknya turut merampas mesin memotong dan memproses kayu balak, pelbagai jenis kayu balak dan sebuah lori.
Kes itu diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Pulau Pinang untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 68(1) Akta Perhutanan Negara 1984, katanya.


