JENAZAH empat sekeluarga yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah treler dan kereta di Kilometer 43 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak berhampiran Bukit Tinggi semalam, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad hari ini.
Jenazah A Halim Hasoon, 55, isterinya Rozita Buang, 58, anak perempuan mereka Norbahyah, 26, dan cucu perempuan berusia setahun lima bulan, Nayla Afya Aizat Faizal selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Mempaga 1 di Bentong, jam 7.15 malam tadi.
Kesemua jenazah mangsa sebelum itu dibawa ke Masjid Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh untuk solat jenazah selepas proses bedah siasat yang bermula sekitar jam 9 pagi di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh selesai, jam 12 tengah hari.
Jenazah kemudian dibawa menggunakan tiga van jenazah ke sebuah surau di Felda Mempaga 1 bagi membolehkan jiran tetangga serta kenalan memberikan penghormatan terakhir, sebelum tiba di tanah perkuburan kira-kira jam 6.15 petang.
Dalam kejadian petang semalam, empat mangsa terbabit meninggal dunia di tempat kejadian selepas kereta dinaiki mereka dihempap sebuah treler membawa muatan habuk besi yang dipercayai hilang kawalan sebelum terbalik Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak menghala ke Bentong.
Pemandu treler berusia 40 tahun yang hanya mengalami cedera ringan kini direman selepas ujian saringan air kencingnya didapati positif dadah.






