Bersatu tak boleh dipecat sewenang-wenangnya daripada PN – Marzuki

PARTI Bersatu tidak boleh dipecat sewenang-wenangnya daripada Perikatan Nasional (PN) kerana tindakan disiplin yang diambil terhadap parti itu masih tertakluk keputusan Majlis Presiden.

Bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Presiden Bersatu, Datuk Dr Marzuki Mohamad berkata, Fasal 7A Perlembagaan PN memperuntukkan hanya majlis itu yang dianggotai Presiden parti anggota mempunyai kuasa membuat keputusan muktamad berhubung perkara disiplin melibatkan komponen.

“Keputusan Majlis Presiden pula hendaklah dibuat sebulat suara. Jika seorang Presiden tidak setuju, tiada tindakan boleh diambil,” katanya dalam hantaran di Facebook malam ini.

Kenyataan Marzuki itu dibuat selepas Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, terpulang kepada Bersatu sama ada mahu terus kekal atau meninggalkan gabungan itu.

Abdul Hadi dilaporkan berkata, Pas sudah membuat keputusan untuk berpisah dengan Bersatu, manakala Ahmad Samsuri pula dilaporkan berkata, kedudukan parti itu dalam PN akan dibincangkan dalam mesyuarat gabungan akan datang.

Kedua-dua pemimpin Pas terbabit mengulas perkara itu selepas menghadiri majlis pelancaran Parti Wawasan Negara yang diasaskan bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin pada Sabtu lalu.

Marzuki dalam pada itu berkata, Majlis Presiden juga mempunyai kuasa membuat keputusan muktamad mengenai ketetapan kerusi pilihan raya yang dirujuk oleh Jawatankuasa Rundingan Kerusi.

Katanya, keputusan berhubung perkara itu turut perlu dipersetujui sebulat suara oleh Majlis Presiden.

Menurutnya, tiada mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan PN yang memberikan kuasa mutlak kepada Pengerusi gabungan itu untuk menentukan agihan kerusi pilihan raya atau mengeluarkan watikah calon.

“Jadi, Bersatu tidak boleh dipecat daripada PN sewenang-wenangnya. Pengerusi PN juga tidak mempunyai kuasa mutlak untuk memberikan watikah calon sesuka hati,” tegasnya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img