SELEPAS lebih 30 jam jam ditawan rejim Zionis, nasib 10 orang rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) masih belum diketahui ketika ini.
Sehingga jam 11 pagi tadi, masih belum ada perkembangan lanjut mengenai 186 aktivis yang ditahan tentera Israel di perairan antarabangsa semalam.
Ketika ini juga, masih belum ada tanda 10 rakyat Malaysia yang menaiki lima kapal berbeza itu sudah dibebaskan oleh tentera Israel.
Mereka yang ditahan setakat ini adalah pengasas ZRA Strim, Zainal Rashid Ahmad yang menaiki kapal Arkham III, Mohd Hanafi Mohd Salim (Bianca BCN), Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman (Bianca BCN), Norhelmi Ab Ghani (Bianca BCN), Hazwan Hazim Dermawan (Bianca BCN).
Turut ditahan, Osman Zolkifli (Eros 1), Dr Jihan Alya Mohd Nordin (Eros 1), Mohd Shamsir Mohd Isa (Esplai II), Mohd Redzal Amzah (Freia) dan Muhamad Muhsin Zaidi (Marea).
Semalam, Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) mengesahkan 10 rakyat Malaysia antara 186 peserta terputus hubungan pada hari ke-18 misi kemanusiaan GSF.
Sebanyak 22 daripada keseluruhan 63 kapal dilaporkan dipintas pihak berkuasa Israel di perairan Mediterranean berhampiran Kepulauan Crete, Greece.
Sementara itu, antara yang terbabit dalam pelayaran GSF ialah Dr Jihan Alya yang menjadi satu-satunya wanita rakyat Malaysia yang ditahan dalam misi itu, iaitu pakar perubatan kecemasan yang berkhidmat di Hospital Tawau, Sabah.
Graduan perubatan dari National University of Ireland berada dalam kapal yang membawa ubat-ubatan serta keperluan asas untuk rakyat Palestin.
Ahmad Musa pula ialah pengasas Cinta Salam Malaysia (CSM) yang juga badan bukan kerajaan (NGO) membantu komuniti pelarian melalui usaha kemanusiaan yang berimpak.
Hazwan Hazim pula ialah jurumudi profesional yang juga atlet layar yang banyak menyertai pelbagai pertandingan antarabangsa, manakala Osman kapten kapal yang mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam bidang perkapalan luar pesisir.


