DATUK Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau akan segera menghubungi rakan sejawatnya di beberapa negara untuk memberi tekanan kepada Israel, bagi membebaskan 10 rakyat Malaysia yang diculik rejim Zionis ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).
Perdana Menteri berkata, beliau sedaya upaya akan menggunakan apa juga ruang diplomasi untuk membebaskan rakyat Malaysia.
“Kita sekarang tengah ambil apa juga ikhtiar, hubungi sahabat-sahabat kita di negara Teluk, negara Arab untuk cari jalan lepaskan mereka (10 rakyat Malaysia ) daripada tahanan Israel.
“Saya hubungi Kementerian Luar dan juga hubungi negara sahabat (lain) yang boleh saya hubungi, saya akan hubungi Insya-Allah,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nurul Iman di Rawang hari ini.
Selepas lebih 30 jam ditawan rejim Zionis, nasib 10 orang rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan GSF masih belum diketahui.
Setakat tengah hari tadi, belum ada perkembangan lanjut mengenai 186 aktivis yang ditahan tentera Israel di perairan antarabangsa semalam.
Ketika ini juga, masih belum ada tanda 10 rakyat Malaysia yang menaiki lima kapal berbeza itu sudah dibebaskan oleh tentera Israel.
Perdana Menteri dalam pada itu turut mengecam tindakan ‘gila’ rejim Zionis yang terdesak apabila sanggup menahan peserta konvoi kapal pelayaran dalam misi menghantar bantuan ke Gaza.
Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh masyarakat mendoakan supaya nasib rakyat Malaysia termasuk peserta GSF dalam keadaan selamat.
“Pertama, tentunya kita doakan keselamatan bukan saja buat rakyat Malaysia tapi rakyat yang terbabit dalam penahanan oleh rejim Zionis Israel. Kebanyakan mereka itu ditahan di perairan antarabangsa. Itu satu kerja gila yang tidak menghormati langsung prinsip.
“Kedua, yang selamat itu ada yang terpaksa beralih masuk ke lautan kawasan Greece dan di situ dijamin oleh kerajaan, tentera laut Greece. Ini bukan langgar kawasan Israel lagi kerana masih dalam kawasan (perairan) antarabangsa.
“Demikian kezaliman yang berterusan. Dia (Israel) tak puas hati dengan bunuh wanita dan kanak-kanak. Dia tak puas hati serang Iran, Lubnan, Gaza dan sekarang (tak puas dengan) orang-orang yang nak bantu bukan bawa senjata tapi makanan, minuman, ubat-ubatan dan beberapa kelengkapan (lain seperti) pakaian,” katanya.


