Thinaah bangga dengan rakan sepasukan meskipun tewas di suku akhir

KEKALAHAN di suku akhir Piala Uber 2026 tidak mematahkan semangat skuad wanita negara apabila pemain tampil memberikan reaksi penuh emosi dan semangat juang selepas tamat perlawanan, semalam.

Menerusi laman Instagram, kapten pasukan, M Thinaah meluahkan rasa bangga terhadap rakan sepasukan meskipun kecewa gagal menyumbang mata buat pasukan dalam kejohanan itu.

“Peranan sebagai kapten bukan mudah kerana banyak tanggungjawab perlu dipikul, tetapi bersama pasukan ini menjadikannya antara pengalaman paling bermakna.

“Saya kecewa tidak dapat menyumbang mata dan untuk itu saya minta maaf, namun semangat juang dan keazaman semua pemain membuatkan saya percaya apa yang mampu dicapai pasukan wanita apabila kita bersatu,” katanya.

Thinaah turut menyifatkan setiap pemain dalam skuad sebagai pemimpin tersendiri, sekali gus mencerminkan kekuatan sebenar pasukan.

Kempen Malaysia dalam saingan Pusingan Akhir Piala Uber 2026 berakhir dengan kekalahan 0-3 kepada juara bertahan China pada peringkat suku akhir di Forum Horsens semalam.

Walaupun tewas, Malaysia tetap boleh berbangga apabila mara ke suku akhir buat kali keempat, sekali gus menyamai pencapaian terbaik dalam sejarah penyertaan selepas edisi 2004, 2008 dan 2010.

Sementara itu, perseorangan negara Goh Jin Wei menegaskan pencapaian mara ke kelompok lapan terbaik selepas 16 tahun tidak wajar dipandang rendah.

“Top 8 selepas 16 tahun… mungkin ada yang kata kami hanya bernasib baik. Tetapi seperti dalam kehidupan, apa sahaja yang kita lakukan pasti ada yang meragui.

“Mungkin kami bukan yang terbaik di dunia, tetapi saya bertuah memiliki rakan sepasukan terbaik yang sentiasa menyokong dan berjuang bersama,” katanya.

Beliau turut menegaskan kekalahan bukan sesuatu yang mudah diterima, namun tetap berbangga dengan usaha seluruh pasukan.

Namun begitu, pemain berusia 22 tahun yang kini berada di ranking ke-33 dunia, K Letshanaa menyifatkan pengalaman beraksi menentang pemain-pemain terbaik dunia sebagai sesuatu yang amat berharga.

“Piala Uber kali ini banyak saya pelajari. Pengalaman saya dapat sangat baik dan saya tidak akan lupakan kerana ini kali pertama saya beraksi rapat dengan pemain-pemain terbaik dunia.

“Saya rasa ini adalah titik permulaan untuk saya berkembang pada masa akan datang,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img