DATUK Seri Anwar Ibrahim mengesahkan tidak akan berlaku perubahan tampuk pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan apabila jawatan Menteri Besarnya masih disandang oleh Datuk Seri Aminuddin Harun, meskipun 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.
Perdana Menteri turut meminta semua pihak termasuk pimpinan UMNO bertenang serta menghormati titah Yang di-Pertuan Besar yang mahu Aminuddin yang juga ADUN Sikamat, meneruskan tugas seperti biasa.
“Negeri Sembilan keadaannya biar bertenang terlebih dulu. Seperti yang kita tahu ada isu yang harus dileraikan ikut Perlembagaan negeri, sementara kita ikut titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang minta Menteri Besar teruskan tugas, tadbir negeri dalam keadaan krisis ekonomi begini.
“Tumpu itulah… nak rebut apa lagi. Tunggulah sekejap. Jadi sebab itu, kita sudah nasihatkan dan saya pun sudah sampaikan kepada kawan-kawan serta kepada pimpinan UMNO.
“Kita boleh berunding, tetapi sekarang jangan gugat usaha memulihkan ekonomi dan memelihara kepentingan rakyat. Itu yang pentingnya,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid Nurul Iman di Rawang hari ini.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam mengesahkan semua 14 ADUN Barisan Nasional (BN) di Negeri Sembilan bersetuju untuk terus kekal bersama Kerajaan Perpaduan di negeri berkenaan bagi memastikan kestabilan terus terpelihara.
Beliau berkata, keputusan itu dicapai hasil perbincangan dalam pertemuannya bersama semua wakil rakyat terbabit.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, langkah yang diambil semua 14 ADUN terbabit sebenarnya berniat baik bagi mempertahankan institusi raja dan adat di Negeri Sembilan, dihormati dan didukung semua rakyat.
Ditanya sama ada langkah menarik sokongan terhadap Menteri Besar, namun masih menyokong Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan sebagai tindakan untuk menukar Menteri Besar, Ahmad Zahid berkata, sebarang permasalahan atau pertikaian harus dihadapi secara bersama.


