SEORANG remaja lelaki berusia 13 tahun ditemukan lemas ketika mandi di sebuah kolam bersama tujuh rakannya di Lorong Desa Senadin 2C-1, Miri pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa, Jackson Mara dikatakan mandi bersama rakannya sebelum dia tiba-tiba hilang dari pandangan.
Komander Operasi Kanan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Miri, Pegawai Bomba Tetap II Henry Jugah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.04 pagi sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong bergegas ke lokasi kejadian.
Menurut beliau, pasukan bomba tiba di lokasi sekitar jam 11.16 pagi dan operasi mencari dan menyelamat segera dijalankan.
Katanya, kolam itu mempunyai kedalaman anggaran 3.04 meter dan usaha mengesan mangsa tetap diteruskan menggunakan kaedah pencarian permukaan (surface searching) di lokasi kejadian.
“Selepas hampir sejam operasi dijalankan, pada jam 12.15 tengah hari, mangsa ditemukan di dasar kolam oleh pasukan penyelamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya lagi, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.06 petang.


