PENYOKONG bola sepak negara Ultras Malaya melaksanakan ‘boikot fasa 1’ terhadap pasukan kebangsaan iaitu mereka akan memboikot semua perlawanan membabitkan Harimau Malaya berkuat kuasa serta-merta.
Menerusi kenyataan rasmi disiarkan di laman Facebook penyokong itu, Ultras Malaya mengambil keputusan tersebut sebagai tindakan susulan terhadap tiga tuntutan yang sudah dibentangkan mereka kepada umum pada 13 April lalu.

Tiga tuntutan yang disuarakan itu membabitkan isu pemalsuan dokumen dengan kumpulan terbabit menuntut supaya menarik balik kerakyatan tujuh pemain berkenaan, memulangkan pengurusan Harimau Malaya kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan melakukan reformasi bola sepak Malaysia.
Sehubungan itu, Ultras Malaya sebulat suara memutuskan untuk melaksanakan boikot fasa 1, iaitu memboikot semua perlawanan yang membabitkan pasukan kebangsaan Malaysia, berkuat kuasa serta-merta.
“Kami memberikan tempoh sehingga 31 Ogos 2026 untuk ketiga-tiga tuntutan itu dipenuhi dan dilaksanakan oleh pihak yang berkaitan demi memastikan bola sepak Malaysia benar-benar merdeka daripada kepentingan sempit, kegagalan tata kelola dan kerosakan sistem yang berpanjangan.
“Sekiranya ketiga-tiga tuntutan ini tidak dipenuhi dalam tempoh yang ditetapkan, boikot fasa 2 yang lebih menyeluruh akan dilaksanakan dan akan membabitkan keseluruhan ekosistem Liga Malaysia.
“Kami, Ultras Malaya, kekal dengan pendirian untuk memperjuangkan bola sepak Malaysia yang tulen, jujur, adil dan bersistem, serta menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk penggunaan bola sepak sebagai alat untuk memenuhi nafsu, pengaruh dan kepentingan peribadi mana-mana pihak atau individu.
“Tindakan ini diputuskan bukan atas dasar kebencian terhadap pasukan kebangsaan atau mana-mana pihak, tetapi demi masa depan bola sepak Malaysia yang lebih bermaruah, tersusun dan bertanggungjawab,” menurut kenyataan itu.
Untuk rekod, FAM sebelum ini dikenakan denda CHF 350,000 (RM1.8 juta) oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) susulan kes pemalsuan dokumen tujuh pemain dan pemain terbabit pula denda CHF 2,000 (RM10,650) serta digantung 12 bulan.
Tujuh pemain terbabit adalah Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel.


