KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) menegaskan bahawa proses pemberian kewarganegaraan kepada tujuh pemain warisan Harimau Malaya dilaksanakan sepenuhnya mengikut Perlembagaan Persekutuan serta perundangan sedia ada tanpa sebarang pelanggaran prosedur.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, orang ramai perlu memahami bahawa isu kewarganegaraan dan kelayakan untuk beraksi bersama skuad kebangsaan dalam kejohanan antarabangsa adalah dua perkara yang berbeza.
Jelas beliau, kerajaan (khususnya KDN) hanya terlibat dalam urusan pemberian kewarganegaraan, manakala aspek kelayakan untuk mewakili negara dalam pertandingan antarabangsa pula ditentukan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Menurutnya, setiap proses yang dilaksanakan sebelum ini telah melalui saluran undang-undang yang betul serta mematuhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
“Dalam isu ini ada dua keadaan. Pertama proses pemberian kewarganegaraan dan kedua kelayakan pemain untuk bermain bagi pasukan Malaysia dalam pertandingan anjuran FIFA.
“Apabila proses itu dilakukan, pemberian kewarganegaraan dibuat mengikut tertib yang ditentukan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang berkaitan. Itu tidak ada isu. Apakah status kewarganegaraan itu telah melalui semua kepatuhan yang dikehendaki mengikut Perlembagaan Persekutuan? Jawapannya ya,” katanya.
Saifuddin berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Makan Malam dan Amanat kepada pasukan Liga Super Imigresen FC di Alor Setar malam tadi.
Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini yang meminta supaya isu tuntutan berkaitan tujuh pemain warisan diteliti dan dibincangkan terlebih dahulu oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat oleh KDN.
Katanya, kerajaan sentiasa menekankan agar setiap perkara dibincangkan melalui saluran yang betul serta mengikut proses yang ditetapkan.
Jelas beliau lagi, Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan digunakan dalam urusan berkenaan dan semua permohonan telah memenuhi syarat yang ditetapkan.
“Kerajaan hanya memudahkan proses permohonan kewarganegaraan. Soal kelayakan bermain itu adalah tanggungjawab FIFA. Itu yang saya faham daripada kenyataan Perdana Menteri,” ujarnya.
Terdahulu, isu berkenaan turut mencetuskan reaksi apabila Ultras Malaya mengemukakan tiga tuntutan termasuk desakan supaya kerakyatan tujuh pemain warisan itu ditarik balik.
Kumpulan penyokong itu juga mengumumkan boikot fasa pertama terhadap skuad kebangsaan serta menuntut reformasi menyeluruh dalam pengurusan bola sepak negara.


