UMNO Negeri Sembilan menegaskan pendirian 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun adalah muktamad dan tidak akan berubah.
Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, tindakan itu diambil susulan hilangnya keyakinan terhadap kepimpinan Aminuddin dalam mengemudi pentadbiran negeri.
Menurut beliau, keputusan itu bukan didorong oleh agenda kepentingan politik, perebutan kuasa atau cubaan ‘tebuk atap’ sebaliknya ia berkaitan isu urus tadbir yang menyentuh sensitiviti institusi adat dan Raja di negeri berkenaan.
“Ini bukan soal politik atau kuasa, tetapi berkaitan urus tadbir kerajaan yang menguruskan institusi adat dan Raja di Negeri Sembilan.
“UMNO tidak mempunyai pilihan selain mengambil tindakan ini demi kepentingan negeri bagi mengelakkan krisis adat menjadi lebih parah,” katanya kepada pemberita selepas berucap di Konvensyen 80 Tahun UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini.
Isnin lalu, Jalaluddin mengetuai 14 ADUN UMNO-BN menarik sokongan terhadap kepimpinan Aminuddin dalam sidang media diadakan di Seremban.
Mengulas lanjut, Jalaluddin menegaskan UMNO bersedia untuk memikul peranan sebagai pembangkang di peringkat kerajaan negeri sekiranya kemelut berkenaan berlarutan sehingga Pilihan Raya Negeri (PRN) atau Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
“Apabila kita sudah menarik sokongan dan Menteri Besar masih menguruskan kerajaan, maknanya kita sudah hilang kepercayaan.
“Kita tunggu keputusan proses ini, namun UMNO bersedia menjadi pembangkang di dalam kerajaan sehingga pilihan raya akan datang,” katanya.
Jalaluddin menegaskan, kegagalan menangani krisis itu dengan segera dikhuatiri akan mencetuskan perdebatan terbuka yang tidak sihat di pelbagai platform media sosial.
“Polemik berkenaan boleh menimbulkan pelbagai persepsi buruk dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat, terutama generasi muda serta pelajar terhadap kredibiliti institusi adat.
“Apabila perdebatan umum berlaku, pelbagai pandangan dikeluarkan oleh mereka yang mungkin tidak memahami soal adat.
“Ini akan menjejaskan reputasi institusi adat itu sendiri. Sebab itu, UMNO mengambil pendirian ini untuk menyelamatkan keadaan,” katanya.
Ditanya mengenai kemungkinan menyokong calon Menteri Besar baharu daripada Pakatan Harapan (PH), Jalaluddin berkata, perkara itu diserahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan tertinggi kedua-dua gabungan.
“Mengenai siapa jua Menteri Besar yang akan diputuskan oleh pucuk pimpinan adalah keputusan pihak tertinggi di antara kerajaan BN dan PH.
“Itu bukan keputusan UMNO Negeri Sembilan. Maka itu kita akan lihat apabila keputusan itu sudah dibuat oleh pihak pimpinan tertinggi,” katanya.


