KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor menumpaskan aktiviti urus niaga diesel haram selepas menyerbu sebuah premis perindustrian di sekitar Ulu Tiram di Johor Bahru, kelmarin.
Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, serbuan dijalankan Bahagian Penguat Kuasa KPDN Johor menerusi Ops Tiris 4.0 hasil maklumat risikan yang dijalankan ke atas premis perindustrian yang dipercayai menjalankan aktiviti perniagaan dan borong minyak diesel itu.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan dipercayai menjalankan aktiviti perniagaan dan borong minyak diesel tanpa sebarang lesen yang sah.
“Modus operandi kegiatan ini dipercayai berselindung di sebalik nama perniagaan sebagai pemborong minyak diesel.
“Mereka mendapatkan bekalan daripada syarikat pembekal sebelum menjual semula kepada syarikat-syarikat pengangkutan tanpa lesen yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam operasi itu, beliau berkata, pihak penguat kuasa menyita diesel yang dianggarkan sebanyak 10,300 liter, tangki skid, satu set pam bahan api lengkap termasuk ‘nozzle’ dan hos.
Selain itu katanya, beberapa dokumen urus niaga berkaitan turut dirampas menjadikan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM85,736.
“Seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 60-an turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya sambil memberitahu kes ini disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.


