PKR memperkenalkan sistem kempen pilihan raya bersepadu ‘Teras’ yang dipacu teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan kesiapsiagaan dan kecekapan operasi parti menjelang pilihan raya akan datang.
Diilhamkan oleh Timbalan Presiden parti, Nurul Izzah Anwar, Teras merupakan sistem operasi kempen pilihan raya berasaskan data dibangunkan untuk menyokong keseluruhan ekosistem kempen parti, daripada pengurusan data pengundi hingga pelaksanaan kerja lapangan serta komunikasi bersasar.
Nurul Izzah berkata, sistem itu direka sebagai tunjang institusi berkekalan bagi parti, dibina bukan hanya untuk satu kitaran pilihan raya, tetapi akan terus bertahan melangkaui peralihan individu mahupun kepimpinan.
“Teras merupakan sumbangan penting kepada masa depan PKR, memastikan kekuatan organisasi parti, aset data dan keupayaan strategiknya kekal utuh serta terus berkembang dari generasi ke generasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, dengan pengintegrasian teknologi dan AI sebagai teras, sistem ini membolehkan pendekatan kempen lebih tersusun, responsif dan berasaskan data, namun dengan peringatan kejayaan mana-mana parti tetap bergantung sejauh mana penerimaan rakyat terhadap parti dan bagaimana ia memahami masalah rakyat.
Tambah beliau, ujian perintis di dua lokasi bulan lalu menunjukkan potensi kukuh dalam memetakan sentimen pengundi, walaupun penambahbaikan diperlukan dalam aspek seperti pengesahan data secara automatik.
Sistem itu turut menunjukkan tahap respons tinggi semasa ujian, dengan keupayaan menangani isu teknikal dengan cepat, sekali gus membolehkan pengurus kempen memberi lebih tumpuan kepada perancangan strategik dan gerak kerja lapangan berbanding urusan pentadbiran.
Bagaimanapun tegas beliau, pencapaian ‘Objektif Latihan Minimum’ kekal penting bagi memastikan sistem ini dapat digunakan dengan berkesan oleh jentera akar umbi tanpa memerlukan kepakaran teknikal tinggi.
“Dengan pelancaran Teras, PKR melangkah ke hadapan dengan tekad jelas untuk menggabungkan kekuatan nilai kita dengan keupayaan teknologi dan jentera parti, sekali gus membina gerakan politik lebih tersusun, responsif dan bersedia menghadapi cabaran masa depan,” kata beliau.


