USAHA untuk merancang atau mahu melakukan penambaikan kepada dasar pendidikan Bumiputera akan menjadi ibarat meraba dalam kegelapan memandangkan ketiadaan data untuk dirujuk.
Pakar Pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) , Dr.Anuar Ahmad berkata, tanpa data yang lengkap sudah pasti ia akan menyukarkan mana-mana pihak melakukan perancangan berkaitan dasar itu dengan baik.
Sambil merujuk kepada Kongres Pendidika Bumiputera baru-baru ini, Dr.Anuar secara terus terang berkata, semua panel yang terlibat ketika perbincangan berada dalam kekaburan.
‘’Mereka tidak bersedia membuat ketetapan yang jelas atau memberi pandangan yang padu mengenai pendidikan Bumiputera. Ia kerana mereka hanya berpandu data nasional secara umum maksudnya data melibatkan semua kaum bukan khususnya Bumiputera,’’ katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan melalui rakaman video bagi mengulas Kongres Pendidikan Bumiputera kelmarin di Pusat Dagangan Putra (WTC), Kuala Lumpur.
Dr.Anuar berkata, dalam tempoh 20 tahun kebelakangan ini data berkaitan pendidikan Bumiputera tidak dibincangkan dan disebarkan.
‘’Ia akhirnya menyebabkan kita berada dalam keadaan tidak terancang, berterabur manakala cadangan yang diberikan seperti diawang-awangan,’’ tegasnya.
Kata beliau, keadaan itu berbeza dengan tahun 70-an apabila data-data berkaitan pendidikan disebarkan secara meluas mengikut etnik.
‘’Melalui data berkenaan ia membolehkan kerajaan merancang lebih baik. Contoh pada masa itu ada data menunjukkan hampir 40 peratus anak Bumiputera tidak ke sekolah. Apa yang dilakukan oleh kerajaan melalui data-data tersebut ialah mewujudkan kajian keciciran Murad.
‘’ Melalui kajian itu ia berjaya menghasilkan senarai resolusi yang baik. Antara termasuklah Rancangan Makanan Tambahan (RMT) 1976, mewujudkan 1,500 sekolah asrama untuk pelajar yang rumah jauh dari sekolah,’’ katanya.
RMT ialah program yang dilaksanakan di sekolah (terutamanya sekolah rendah) untuk membantu murid daripada keluarga berpendapatan rendah.
Tujuan utamanya ialah meningkatkan pemakanan murid, memberi makanan berkhasiat supaya murid mendapat nutrisi yang mencukupi untuk tumbesaran yang sihat, membantu perkembangan fizikal dan kesihatan, mengurangkan masalah seperti kurang berat badan, kekurangan zat makanan dan keletihan, meningkatkan tumpuan dalam pembelajaran murid yang kenyang dan cukup nutrisi lebih fokus, aktif, dan mudah memahami pelajaran.
Selain itu ia juga bertujuan mengurangkan masalah ponteng sekolah. Dengan adanya makanan percuma, murid lebih bermotivasi untuk hadir ke sekolah setiap hari dan eringankan beban keluarga berpendapatan rendah. Ibu bapa tidak perlu risau sepenuhnya tentang penyediaan makanan harian anak.
Sekolah berasrama pula bertujuan meningkatkan akses pendidikan, memberi peluang kepada pelajar dari kawasan luar bandar atau pedalaman untuk mendapatkan pendidikan yang lebih baik tanpa perlu berulang-alik jauh setiap hari dan mewujudkan persekitaran pembelajaran kondusif.
Dr.Anuar berkata, RMT dan sekolah berasrama itu dapat dilaksanakan hasil kajin keciciran murid berdasarkan data yang doperlehi
‘’Keadaan itu berbeza dengan hari ini apabila kita berhadapan masalah besar disebabkan tidak mempunyai data yang banyak atau data yang dikongsikan dengan masyarakat,’’ katanya.
Beliau berkata, disebabkan tiada data tersebut ia menyebabkan semua pihak tidak ada jawapan sejauh manakah pencapain anak bumiputera dalam sesuatu subjek setiap tahun.
‘’Contohnya bagi matapelajaran Sains, Matematik Tambahan dan Biologi. Adakah anak-anak bumiputera berjaya? Adakah pendidikan Sains Matematik bumiputera sedang meningkat atau merosot?
‘’Begitu juga pelajar yang memperolehi gred gagal dalam SPM, berapa ramaikah mereka? Di manakah mereka? Semua data ini tidak dikongsikan,’’ katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap, pada Kongres Pendidikan Bumiputera akan datang data-data berkaitan pendidikan kaum itu didedahkan dan dikongsikan bagi membolehkan semua pihak dapat meneliti dan melakukan penambahbaikan.


