SEKUMPULAN aktivis Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 bertegas untuk meneruskan pelayaran ke Gaza dari Istanbul, Turkiye walaupun berdepan pelbagai cabaran, termasuk dakwaan layanan buruk oleh tentera Israel.
Salah seorang aktivis, Zainal Rashid Ahmad berkata, kesemua 10 rakyat Malaysia yang terlibat kini berada dalam keadaan sihat selepas insiden yang berlaku di laut Mediterranean baru-baru ini.
“Kami yakin dan tetap meneruskan misi. Kami di Istanbul bukan untuk pulang ke Kuala Lumpur, sebaliknya akan menyambung pelayaran ke Gaza,” katanya menerusi hantaran di TikTok.
Dalam pada itu, Zainal turut menyeru rakyat Malaysia agar terus bersatu dalam isu Palestin serta menghayati perjuangan mempertahankan Masjid Al-Aqsa.
Beliau juga menggesa kerajaan Malaysia supaya mengambil tindakan diplomatik segera dengan menghantar nota bantahan, susulan penahanan dua aktivis misi berkenaan, Saif Abu Keshek dan Thiago Ávila, yang didakwa berdepan risiko hukuman berat.
Sebelum ini, flotila bantuan kemanusiaan tersebut dilaporkan diserang dan ditahan oleh tentera Israel ketika berada berhampiran perairan Greece, kira-kira 600 batu nautika dari Gaza.
Laporan media tempatan Greece menyebut seramai 178 aktivis dari pelbagai negara dipindahkan ke Kampung Atherinolakkos di Lasithi, timur Crete, sebelum dibawa ke Lapangan Terbang Heraklion bagi proses penghantaran pulang ke negara masing-masing.
Misi GSF 2.0 yang membawa bekalan bantuan dilaporkan berlepas secara berperingkat dari Barcelona pada 12 April dan Sicily, Itali pada 26 April, dengan matlamat untuk menembusi sekatan Israel ke atas Gaza.


