Dunia seni tanah air kehilangan seorang lagi permata apabila pelakon veteran ternama, Jalil Hamid, menghembuskan nafas terakhir pada jam 12.30 tengah hari tadi pada usia 69 tahun.
Berita pemergian Allahyarham disahkan anaknya, Afiqah Jalil menerusi hantaran di Instagram.
Menurut Afiqah, bapanya meninggal dunia selepas tertidur sebaik menunaikan solat Subuh sebelum ditemui tidak sedarkan diri oleh ibunya di dalam bilik tidur.
Jenazah Allahyarham dijangka disolatkan di Masjid Al Munawwarah, Shah Alam sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan USJ 21, Subang Jaya selepas solat Asar hari ini.
Allahyarham sebelum ini dilaporkan mempunyai sejarah penyakit jantung dan menjalani rawatan berkala.
Sepanjang lebih empat dekad berkecimpung dalam dunia seni, Jalil Hamid dikenali sebagai antara pelakon versatil yang turut berbakat dalam bidang nyanyian.
Antara karya lakonannya yang meninggalkan kesan termasuk filem Bisik Pada Langit dan Wanita Bertudung Hitam, selain drama seperti Cucu Atuk, Beca Usang dan Ayahanda.
Selain itu, Allahyarham juga pernah mencuri perhatian menerusi lagu berunsur sindiran dan humor berjudul Ayam yang popular sekitar awal 1990-an.
Sepanjang kariernya, Allahyarham turut menerima pelbagai pengiktirafan atas sumbangan besar dalam industri seni tanah air.


