MANIFESTO bersama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 akan dilancarkan Rabu ini.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pelancaran manifesto itu yang pada awalnya dijangka diadakan lebih awal ditangguhkan bagi membolehkan kedua-dua gabungan menyelaraskan tawaran dan agenda masing-masing.
“Sekarang ni jawatankuasa telahpun diwujudkan. Mereka sudahpun mula berbincang. Sebab tu kita yang peringkat awal kita umumkan kita akan melancarkan manifesto semalam, petang semalam. Tapi kita tangguhkan pada 3 November supaya kita dapat harmonikan semua intipati-intipati manifesto dari Perikatan Nasional dengan Barisan Nasional dapat kita sekalikan.
“Kerana kita sudah sepakat untuk kita buat manifesto bersama, tawarkan kepada rakyat secara bersama dan kita akan buat pelancaran secara bersama,” katanya ketika berucap pada program Ramah Mesra bersama DUN Taboh Naning di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Cherana Puteh, Masjid Tanah, hari ini..
Asyraf Wajdi berkata, jentera kedua-dua gabungan bergerak bersama di peringkat akar umbi.
“Kerjasama ini bukan sahaja di peringkat kepimpinan tertinggi, tetapi juga di peringkat bahagian, kawasan dan penyokong. Saya percaya ini menunjukkan bahawa akar umbi memang mahukan kerjasama ini,” katanya.
Asyraf Wajdi turut mengingatkan jentera BN supaya mengutamakan rekod prestasi dan tawaran dasar kepada rakyat sepanjang tempoh berkempen, bukannya menggunakan pendekatan berasaskan emosi, fitnah atau serangan peribadi terhadap pihak lawan.





